Latar belakang Pertempuran_Hazir

Selepas penaklukan Baitulmuqaddis, Khalifah Umar al-Khattab pulang ke ibu negaranya, Madinah. Beliau mengarahkan Yazid bin Abu Sufyan supaya bergerak mara ke Caesarea. Yazid terus ke Caesarea dan sekali lagi mengepung kota pelabuhan tersebut. Sementara itu Amr bin al-As dan Syurahbil bin Hasanah mara untuk menawan Palestin dan Jordan semula. Mereka berjaya melaksanakan tugas tersebut sepenuhnya pada hujung tahun 637 M. Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan Khalid bin al-Walid pula, dengan naggota tentera seramai 17,000 orang, mara dari Baitulmuqaddis untuk menawan selurh wilayah di utara Syria.

Abu Ubaidah bergerak ke Damsyik, yang pada masa itu dalam tangan Muslim, dan kemudian ke Emesa (Homs). Objektifnya ialah Qinasrin dan beliau bergerak menuju kubu itu dengan angkatannya didahului Pengawal Bergerak yang dipimpin Khalid bin al-Walid. Pasukan Khalid tiba di Hazir, 5 kilometer (3.1 mi) di arah timur Qinasrin, dan di sini, pasukan ini diserang oleh sebuah pasukan Byzantine yang kuat. Panglima Byzantine di Qinasrin seorang jeneral bernama Menas, seorang jeneral yang disegani dan disayangi para soldadunya. Menas sedar sekiranya beliau menunggu di Qinasrin, beliau akan dikepung tentera Muslim dan akhirnya terpaksa menyerah diri oleh sebab beliau tahu yang Maharaja Byzantine, Heraclius, tidak dapat membantunya. Lantas Menas membuat keputusan untuk menjalankan serangan terhadap pasukan hadapan tentera Muslim di satu tempat di luar kawasan kubu Qinasrin, dan menewaskan pasukan hadapan tersebut senbelum pasukan utama Muslim tiba di medan. Dengan berbekalkan rencana ini, Menas menyerang Pasukan Bergerak Khalid dengan angkatan seramai 70,000 orang Byzantine; dapat dilihat bahawa beliau tidak mengetahui tentang kehadiran Khalid ataupun beliau tidak mempercayai apa yang didengarnya tentang ketangkasan Khalid sebagai panglima tentera.